Dr Fahmi Ngah ketika ditemu bual wartawan Media Selangor di Plaza Perangsang, Shah Alam pada 16 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

SSDU menang Anugerah Amalan Terbaik dari Frost & Sullivan

SHAH ALAM, 16 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memenangi Anugerah Amalan Terbaik bagi kategori Agensi Tadbir Urus Bandar Pintar Membangun di Asia Tenggara 2019 (2019 Emerging Southest Asia Smart City Governance Agency Of The Year Award) oleh Perunding Global Frost & Sullivan.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata, anugerah berprestij itu mengiktiraf amalan terbaik dan prestasi cemerlang yang ditonjolkan SSDU dalam implementasi program Smart Selangor.

“Kemenangan ini tidak dijangka. Cuma saya berpendapat memang tepat diberikan kepada kita di Selangor kerana amalan struktur tadbir urus program Smart Selangor yang dilaksanakan selama ini.

“Pastinya di peringkat Kerajaan Negeri perbelanjaan untuk program ini adalah sangat berhemah, di mana setiap sen yang dibelanjakan itu harus menepati penunjuk prestasi utama dan terkesan kepada rakyat,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Fahmi turut menyifatkan pencapaian terbaik di peringkat ASEAN itu membuktikan prosedur dan pematuhan yang diamalkan di Selangor selaras piawaian antarabangsa.

Selangor sejak 2008 katanya, tidak mempunyai masalah tadbir urus atau ketirisan yang membarah serta wajib dipatuhi semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Pada masa sama, Dr Fahmi mencadangkan budaya “agile culture” daripada sudut metodologi dan praktis diterapkan ke dalam struktur tadbir urus kerajaan dalam tempoh enam tahun ini.

Jika berjaya dilaksanakan, katanya, ia akan membuka Selangor kepada potensi pelaburan dan perniagaan luar yang lebih besar.

“Banyak kolaborasi bersama pihak swasta perlu dibentuk. Jika konsep dan budaya “agile” berjaya diterapkan, pihak swasta terutama dari industri berasaskan inovasi dan teknoloji akan lebih gemar melabur dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri kerana dilihat lebih terbuka kepada keperluan industri.

“Kita perlu maju ke hadapan dengan lebih cepat tanpa melanggar pematuhan undang-undang, namun sebarang proses birokrasi yang keterlaluan perlulah dikaji semula supaya ia lebih mesra pelabur,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.


Pengarang :