Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit Dr Fahmi Ngah memberi penerangan berkaitan Smart Selangor Command Centre di Plaza Perangsang Shah Alam pada 16 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

13 inisiatif agenda Smart Selangor diperkenal 2020

SHAH ALAM, 16 OKT: Sebanyak 13 inisiatif menerusi program Smart Selangor akan diperkenalkan tahun hadapan bagi memastikan negeri ini lebih produktif dan berdaya huni.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, Kerajaan Negeri serius dan terus komited dengan pembangunan agenda itu.

Katanya, peruntukan ke arah inisiatif berkenaan akan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Negeri 2020 pada November ini.

“Dato’ Menteri Besar juga berhasrat untuk membawa beberapa penciptaan terkini di bawah SSDU ke beberapa bandar ASEAN lain pada tahun hadapan.

“Ini amat bertepatan selepas pihak kami memenangi Anugerah Amalan Terbaik bagi kategori Agensi Tadbir Urus Bandar Pintar Membangun di Asia Tenggara 2019 (2019 Emerging Southest Asia Smart City Governance Agency Of The Year Award) oleh Perunding Global Frost & Sullivan baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri sudah berjaya melahirkan suatu entiti yang dianggotai oleh pakar tempatan yang berkeupayaan membawa sesuatu yang amat bernilai bukan sahaja untuk Malaysia bahkan untuk peringkat global,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Fahmi turut menjangkakan peruntukan yang bakal diterima SSDU untuk 2020 akan bertambah berbanding RM10 juta pada Belanjawan 2019.

“Kita akan melaksanakan beberapa inisiatif lagi yang akan memberi kesan positif kepada rakyat bagi memastikan Selangor menjadi negeri lebih berdaya huni dan merealisasikan ekosistem ekonomi baharu lebih berdaya saing.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor sekali gus, menjadikan negeri ini sebagai negeri serantau di rantau ASEAN menjelang 2025.

Sejumlah 60 inisiatif dibangunkan di bawah 12 domain Smart Selangor, antaranya Tadbir Urus Pintar, Pengurusan Sisa Pintar, Pengurusan Lalu Lintas Pintar, Insfrastruktur Digital Pintar dan Pendidikan Pintar.


Pengarang :