AGAMABERITA UTAMANASIONAL

Penjara swasta: Pasukan khas perlu buat kajian

PUTRAJAYA, 28 NOV: Satu pasukan khas perlu ditubuhkan bagi melakukan kajian terperinci sekiranya ada keperluan untuk mewujudkan penjara swasta di negara ini, kata Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata, sewajarnya pasukan itu dianggotai oleh pihak luar termasuk beberapa pegawai daripada jabatan itu sendiri.

“Kita nak kata boleh buat (penjara swasta) pun tidak dan nak kata tidak boleh pun tidak, sebab banyak pandangan yang perlu kita dapatkan mengenai perkara ini seperti pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya dan pakar akademik serta golongan profesional,” katanya.

Ditemui media selepas merasmikan Malam Interaksi Prospek 2019 Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara di sini, malam tadi, Zulkifli berkata, setakat ini, belum ada perbincangan mengenai penubuhan pasukan itu memandangkan cadangan mewujudkan penjara swasta tidak dimuktamadkan mana-mana pihak.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyarankan Jabatan Penjara membuat kajian mengenai ‘private prison’ atau penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan.

Beliau berkata, jabatan berkenaan boleh membuat kertas cadangan berhubung perkara itu jika dirasakan ia dapat dilaksanakan, dan kemudian mengemukakannya kepada kementerian untuk pertimbangan dalam usaha mengatasi kesesakan di penjara.

Pada masa ini, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.

– BERNAMA


Pengarang :