AGENDANASIONAL

Hakim perlu tulis alasan penghakiman

PUTRAJAYA, 28 NOV: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata, adalah penting bagi hakim di negara ini sentiasa berusaha menulis alasan penghakiman.

Beliau berkata, ia penting terutama dalam keadaan hakim tidak mampu memberi respons secara terbuka terhadap kritikan, komen buruk atau tuduhan tidak berasas.

“Telah dikatakan bahawa kita tidak boleh memberi respons secara terbuka terhadap komen-komen tersebut dan kita sebagai hakim hanya boleh memberi maklum balas melalui penghakiman kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘The Malaysian Judiciary Year Book 2018’ dan ‘Journal of The Malaysian Judiciary 2019’ di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ada yang mungkin mengatakan bahawa alasan penghakiman kita lebih penting daripada keputusan itu sendiri dan dalam hal ini adalah adalah penting bagi hakim untuk sentiasa berusaha menulis alasan penghakiman.

Mengenai buku tersebut, beliau berkata, Journal of The Malaysian Judiciary 2019 adalah kompilasi pelbagai artikel membabitkan pelbagai bidang undang-undang.

Majlis tersebut turut dihadiri Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf yang dilantik menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan bermula 25 November lalu sehingga jawatan diisi selepas persaraan Tan Sri Ahmad Maarop pada 24 November lalu.

Turut hadir ​​​​​​​Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun, yang juga pengarang urusan buku tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :