AGENDANASIONAL

Polis terima 24 laporan, tiga kertas siasatan dibuka

JOHOR BAHRU, 10 NOV: Polis Diraja Malaysia (PRDM) menerima 24 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din bagaimanapun berkata sehingga kini hanya tiga yang dibuka kertas siasatan.

Beliau berkata antara kes yang dibuka kertas siasatan termasuk kes bendera parti yang dilaporkan telah dicabut di sekitar Kampung Baru Permas dan kes berkaitan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes basikal lajak, katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM Johor, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua kes daripadanya telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam perkembangan sama, Mohd Kamarudin berkata pihaknya menjangkakan kempen pilihan raya menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti.

“Kita tidak mahu kempen seperti melakukan provokasi antara satu sama lain yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Kita harapkan proses kempen yang menggunakan kenderaan mendapatkan permit dari pihak polis supaya kerja-kerja pemantauan mudah dilakukan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, PDRM menyediakan 3,050 anggota yang akan bertugas sekiranya berlaku bencana banjir.

Sebanyak 226 anggota dari semua jabatan IPK di negeri terlibat dalam perhimpunan bulanan ini dan sebanyak 82 telah menerima surat penghargaan sebagai petugas cemerlang.

– BERNAMA


Pengarang :