KLANG, 10 NOV: Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih 2019 sejauh 40 kilometer bermula di Galeri Jualan Sime Darby, Bandar Bukit Raja, di sini.
Kayuhan anjuran Sime Darby Property Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu diadakan sempena meraikan Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Peserta kayuhan dilepaskan oleh Tengku Amir kira-kira jam 8 pagi dan berakhir pada 10 pagi.
EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, matlamat utama penganjuran adalah menzahirkan kesetiaan rakyat dan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda pada 11 Disember depan.
“Kerajaan Negeri menggalakkan semua pihak, agensi dan rakyat untuk terus menggalakkan aktiviti gaya hidup sihat melalui pelbagai jenis program yang dirangka.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan dicontohi pihak berkuasa tempatan lain,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Hadir sama Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pengurus Besar Sime Darby Property Berhad, Ir Mohd Idris Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Sementara itu, Mohd Idris berkata, program julung kali itu adalah program tanggungjawab sosial korporatnya yang bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti.
Katanya, seramai 1,700 peserta menyertai kayuhan menjunjung kasih berkenaan.
“Selain mengeratkan hubungan antara komuniti, program kayuhan ini turut menyokong aktiviti gaya hidup sihat ke arah bandar rendah karbon,” katanya.
Laluan kayuhan di sekitar Bandar Bukit Raja dan penaja utama kayuhan adalah Sime Darby Property.
Ia turut ditaja Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, Kelab Sukan Rekreasi Ultimate Endurace dan Kagen Water System selain kayuhan ini mendapatkan kerjasama Majlis Sukan Selangor (MSN), Polis Daerah Klang Utara, serta Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS).