Dr Siti Mariah Mahmud selepas Majlis Pusat Hentian Penilaian Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya (One Stop Free Assessment For Learning Disabilities Children) di Sekolah Menengah Kebangsaan Unjur Batu, Klang pada 2 November 2019.
EXCOSELANGOR

YAnIS bantu lahir OKU produktif

KLANG, 2 NOV: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menyifatkan pengumuman Yayasan Anak Istimewa Selangor (YAnIS) pada Belanjawan #Selangor2020 semalam adalah berita paling menggembirakan.

Katanya, penubuhan YAnIS bakal meninggalkan impak baik buat golongan istimewa terutamanya kepada anak-anak dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Jika sebelum ini, setiap kali ada aktiviti amal melibatkan kanak-kanak istimewa, ramai yang hanya memberikan hadiah seperti hamper atau hadiah-hadiah kecil-kecilan lain.

“Tetapi selepas diumumkan kewujudan YAnIS secara rasmi semalam, diyakini yayasan ini akan mampu mengumpulkan dana daripada syarikat atau individu yang prihatin bagi memberi lebih manfaat buat anak-anak OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pusat Hentian Penilaian Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya (One Stop Free Assessment For Learning Disabilities Children) di Sekolah Menengah Kebangsaan Unjur Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Sentosa, Gunarajah R. George dan hampir 300 peserta yang terdiri daripada pakar terapi serta kanak-kanak istimewa.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi Belanjawan #Selangor2020 mengumumkan penubuhan YAnIS yang bermula tahun hadapan akan menerima suntikan pertama RM1 juta.

Penubuhan yayasan itu dijangka dapat membantu Kerajaan Negeri mengendalikan keperluan semasa seperti pengurusan operasi, pencarian dana dan latihan kemahiran yang diperlukan dalam merealisasikan program pemberdayaan OKU di Selangor.

Mengulas lanjut, Mariah berkata, Kerajaan Negeri turut komited membantu remaja OKU untuk berdikari bagi memastikan kumpulan berkenaan mampu hidup tanpa bantuan pada masa hadapan.

“Kami cuba melahirkan golongan muda OKU ini lebih produktif serta menjadi lebih mampan, dan sebolehnya saya mahu menghapuskan rasa bimbang keluarga atau penjaga yang risau nasib anak-anak ini selepas ketiadaan mereka.

“Tetapi sebaliknya jika anak-anak OKU ini boleh berdikari sudah tentu kebimbangan sebegini dapat dielakkan dalam keluarga berkenaan,” katanya.


Pengarang :