Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan Jalur Gemilang kepada ‘All Women’s Expedition To Antartica (AWETA) yang diketuai oleh Mentornya, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua, kanan) yang akan menjayakan misi negara ke Kutub Selatan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Bangunan Perdana Putra pada 3 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat peserta AWETA sudah masuki Kutub Selatan

SHAH ALAM, 25 DIS: Peserta ekspedisi eksklusif wanita ke Antartika, ‘All Women Expedition to Antartica’ (AWETA) kini telah mula memasuki kawasan di Kutub Selatan itu.

Wakil jurucakap AWETA ketika dihubungi Bernama berkata, kumpulan tersebut yang diketuai Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan tiga peserta ekspedisi telah memasuki Antartika kira-kira 2 pagi. (waktu Malaysia).

“Mereka telah memulakan pengembaraan mereka dan perjalanan pertama mereka dari 89 darjah ke Kutub Selatan.

“Setakat ini kumpulan itu berjaya merentasi 2.0 kilometer (perjalanan di Antartika) dan keadaan cuaca di sana cerah dengan suhu pada – 29 darjah Celsius,” katanya.

Beliau berkata, kesemua peserta berada dalam keadaan baik selain masing-masing cuba menyesuaikan diri dengan situasi di sana.

“Setakat ini ekspedisi tersebut berjalan lancar dan kumpulan itu turut memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan mereka di sana,” katanya.

Kumpulan ekspedisi itu bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan tersebut.

Misi yang dijadual bermula Rabu lepas hingga 3 Januari depan melibatkan tiga peserta wanita iaitu anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31 tahun.

– BERNAMA


Pengarang :