SHAH ALAM, 18 DIS: Selangor mencatatkan kutipan premium sebanyak RM1.066 bilion setakat November 2019.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, jumlah kutipan itu melebihi sasaran sebanyak RM1 bilion yang ditetapkan bagi tahun ini.
“Saya dimaklumkan kita sasar kutipan premium sebanyak RM1 bilion tetapi setakat November ini kita sudah berjaya mencatatkan kutipan RM1.066 bilion iaitu lebih daripada sasaran kita tetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Ketua-Ketua Jabatan & Agensi Kerajaan Negeri di Dewan Megawati di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.
Program itu turut dihadiri EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim serta beberapa Ahli Dewan Negeri.
Amirudin berkata, kejayaan kutipan premium membabitkan tanah itu dicapai hasil usaha gigih semua pihak yang memastikan pendapatan negeri terus meningkat.
Dalam pada itu, ketika menyentuh isu langkah Penjajaran Semula Program Inisiatif Peduli Rakyat, Amirudin berkata, rakyat boleh menerima keputusan itu sekiranya penjelasan dibuat secara tuntas dan konsisten.
“Awalnya saya agak bimbang maklum balas mungkin negatif namun bila saya perolehi beberapa dapatan, kita dekati beberapa pandangan.
“Jika kita lakukan perkara yang betul walaupun kurang popular yang tidak mendapat pujian tetapi kalau kita konsisten, lakukan dengan betul, menerangkan dengan tuntas, konsisten, akhirnya orang akan terima,” katanya.