Timbalan Pengarah Penguatkuasa Pencegahan KPDNHEP, bercakap kepada media selepas Program Back To School dan Pemeriksaan Harga Barangan Sekolah KPDNHEP pada 26 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga perlu patuh, pengguna harus tahu hak

SEMENYIH, 26 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sewenangnya dan menjalankan perniagaan dengan beretika.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa Pencegahannya, Azman Adam berkata, amaran itu bagi memastikan pengguna dapat membuat pilihan bijak ketika membeli barangan.

“KPDNHEP akan sentiasa membuat pemeriksaan di seluruh negara berhubung semakan harga barangan dan jika ada antara mereka mengenakan caj yang tidak munasabah kita tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pengguna juga seharusnya mengetahui tanggungjawab dan menegakkan hak mereka sebagai pengguna,” katanya ketika ditemui pada program Pemeriksaan Harga Pakaian dan Barangan Sekolah 2019 di Pasaraya Mydin Semenyih di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat kuasa Selangor, Azizan Abdullah.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP menerusi portal [email protected] jika mendapati peniaga tidak mematuhi piawaian harga ditetapkan.

Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi pusat panggilan khidmat pelanggan KPDNHEP di talian 1800 886 800 atau pusat panggilan penguatkuasaan 03-8882 6245; email ke [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU; WhatsApp ke 019-279 4317 serta lapor atau hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.


Pengarang :