Naib Pengerusi Syria Care, Rizal Ali
AGENSISELANGOR

Syria Care perlu RM900,000 bantu pelarian Syria

SHAH ALAM, 7 DIS: Syria Care menyeru masyarakat negara ini agar terus memberi sumbangan kepada pelarian di Syria terutama ketika rakyat negara itu sedang berdepan dengan musim sejuk melampau.

Naib Pengerusi Syria Care, Rizal Ali berkata, secara keseluruhan pihaknya menyasarkan kutipan dana RM2.53 juta bagi membantu kira-kira 50,000 nyawa di negara terbabit.

Katanya, daripada jumlah itu Syria Care sudah berjaya meraih RM1.6 juta dan masih memerlukan dana kira-kira RM900,000 lagi bagi membantu pelarian itu.

“Malah, dana yang dikumpul ini juga hanya untuk musim sejuk dan bertepatan dengan kempen kami anjurkan iaitu Kempen Bantuan Musim Sejuk 7.0.

“Sumbangan anda amat dialu-alukan supaya pelarian tidak keresahan memikirkan nasib mahu mengharungi musim sejuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Hi-Tea Amal `Ikhlas Dari Hati’ di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Pada masa sama, Rizal berkata, pelbagai kategori bantuan akan disalurkan iaitu seperti pek makanan, peralatan musim sejuk, pakaian, kayu api dan selimut.

“Alat pemanas yang dikumpulkan buat masa ini belum mencukupi dan kami masih berharap bantuan daripada anda semua,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus mengkreditkan wang ke akaun CIMB Islamic: 8601894560 atau Maybank Islamic: 562106653575 atau hubungi Pegawai Kewangan Syria Care di talian 011-2880982 untuk pertanyaan.


Pengarang :