Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA naik kadar caj sewa tempat letak kereta khas 50 peratus

SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menaikkan kadar caj sewa tempat letak kereta khas atau bermusim di bawah pentadbirannya sebanyak 50 peratus bermula 1 Januari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata kenaikan kadar caj sewa terbabit tertakluk di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MBSA) 2007.

Katanya, kadar baharu caj sewa petak pertama RM150 manakala RM250 (petak kedua dan seterusnya) bagi jenis perniagaan seperti kedai mencuci kereta, kedai perabot dan alatan rumah, hotel bajet, pasaraya serta bank.

“Sebelum ini, kadar caj sewa tersebut RM100 bagi petak pertama dan RM200 untuk petak kedua dan seterusnya.

“Bagaimanapun, kadar caj sewa tahun ini dinaikkan selain dipinda mengikut kategori jenis perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, kategori jenis perniagaan seperti kedai aksesori kereta/motosikal, kedai alat ganti kereta/motosikal, kedai tayar dan rim kereta serta ruang pameran kereta/motosikal kadar caj sewaan adalah RM150 sepetak bagi petak pertama dan RM300 (petak kedua dan seterusnya).

MBSA akan terus menambah baik perkhidmatan yang disediakan supaya lebih cekap selain menyediakan kemudahan awam lain demi kebaikan warga Shah Alam.

Sebarang pertanyaan berkaitan kadar caj sewa tempat letak kereta khas atau bermusim boleh menghubungi Unit Tempat Letak Kereta, Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1757.


Pengarang :