BANTING, 18 JAN: Kerja pengasuh bukan setakat memberi makan dan menjaga tidur anak jagaan sebaliknya perlu membantu perkembangan minda mereka , kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.
Dr Siti Mariah Mahmud berkata perkembangan minda kanak-kanak aktif pada peringkat awal sekali gus memerlukan mereka diberi aktiviti bersesuaian.
Katanya i-Asuh membantu meningkatkan ilmu penjagaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan diberikan.
“Diseru penerima Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) memanfaatkan program i-Asuh bagi menambahkan pendapatan mereka.
“Menerusi KISS mereka hanya menerima RM200 tetapi jika mengasuh kanak-kanak dalam tempoh sebulan mereka dapat pendapatan lebih, ” katanya pada Program i-Asuh di Dewan Orang Ramai Kampung Jenjarom di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor, Gan Pei Nei dan Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.