AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penyusunan semula frekuensi TV myFreeview bermula 6 Januari

PUTRAJAYA, 2 JAN: MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan melakukan kerja-kerja penyusunan semula frekuensi siaran digital TV myFreeview secara berperingkat bermula 6 Januari sehingga suku pertama tahun ini sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

Dalam kenyataan hari ini, MYTV memaklumkan perubahan frekuensi tersebut adalah sejajar dengan perancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyediakan frekuensi menerusi jalur 700 MHz bagi kegunaan perkhidmatan jalur lebar atau 5G.

“Proses ini melibatkan perubahan satu atau dua frekuensi sedia ada dari stesen pemancar yang terlibat. Untuk makluman, siaran digital myFreeview dihantar melalui dua frekuensi dari setiap stesen pemancar,” jelasnya.

Menurut MYTV, sebagai permulaan, kerja-kerja penyusunan frekuensi akan dilakukan mulai jam 1.00 pagi sehingga 6.00 pagi pada 6 Januari di stesen pemancar Gunung Raya, Langkawi, Kedah yang hanya melibatkan perubahan pada frekuensi kedua.

“Penonton siaran TV digital myFreeview yang mengalami gangguan siaran selepas kerja-kerja penyusunan frekuensi ini perlu melakukan penelaan semula dekoder atau TV Berintegrasi Digital (IDTV) bagi mendapatkan frekuensi yang baharu,” maklumnya.

Penonton digalakkan membuat penalaan semula secara automatik dan sekiranya penalaan dibuat secara manual, pengguna boleh menyemak senarai frekuensi yang baharu di laman sesawang https://www.mytvbroadcasting.my/pdf/Lists-of-frequency.pdf.

“Sebarang maklumat berkaitan dengan kerja-kerja ini akan dikemaskini melalui Facebook dan laman sesawang rasmi MYTV atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088,” jelasnya.

– BERNAMA


Pengarang :