Kakitangan pusat membeli-belah memakai pelitup muka di tengah-tengah kebimbangan penyebaran Covid-19 di Marina Bay, Singapura pada 18 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 93 kes di Singapura, 62 pulih

SINGAPURA, 26 FEB: Singapura hari ini melaporkan dua lagi kes jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kepada 93.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan kedua-dua kes terbaharu itu melibatkan warganegaranya yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Menurut kementerian itu, empat lagi kes jangkitan Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan 62 pulih sepenuhnya.

Antaranya ialah doktor hospital swasta yang disahkan dijangkiti virus itu pada 13 Februari dan seorang warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights, seorang daripada kluster Covid-19 yang dikenal pasti di sini.

Daripada 31 kes yang disahkan masih di hospital, kementerian itu menjelaskan bahawa kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala tujuh dalam keadaan kritikal dalam unit penjagaan rapi.

Sehingga tengah hari tadi, kementerian telah mengenal pasti 2,848 kontak rapat yang telah dikuarantin dengan 2,589 telah menyelesaikan tempoh kuarantin mereka dan 259 sedang dikuarantin.

Setakat ini, lapan kes positif dikaitkan dengan kluster The Life Church and Missions Singapore; 23 kes kluster gereja Grace Assembly of God, sembilan kluster kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan swasta yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura dan lima dengan tapak pembinaan Seletar.

-BERNAMA


Pengarang :