Pengawal keselamatan meronda di luar pasar borong makanan Huanan, lokasi koronavirus dikesan di Wuhan, China pada 24 Januari 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Misi bawa pulang 120 rakyat Malaysia di Wuhan

SHAH ALAM, 2 JAN: Kedutaan Besar Malaysia di Beijing semalam menghantar pasukan peninjau ke Wuhan bagi menyelaras dan membantu proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia di wilayah Hubei susulan penularan wabak koronavirus 2019 di republik itu.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, pasukan yang terdiri daripada enam pegawai kedutaan akan mengemas kini senarai rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Pasukan peninjau bertolak ke Wuhan pagi tadi… (semalam) melalui perjalanan darat yang mengambil masa kira-kira 12 hingga 13 jam.

“Pasukan ini akan kumpulkan rakyat Malaysia dan kemas kini senarai nama mereka sebelum proses penghantaran pulang ke tanah air,” lapor FMT.

Nushirwan berkata setakat ini proses perbincangan dengan kerajaan China mengenai penghantaran pulang rakyat Malaysia berjalan dengan baik dan mereka yang terlibat dijangka balik dengan penerbangan komersial dalam masa terdekat.

Kelmarin, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata pesawat tentera Malaysia tidak dibenarkan masuk ke China untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah yang dilanda wabak koronavirus 2019.


Pengarang :