Kakitangan perubatan Singapura menuju ke Pusat Penyakit Kebangsaan di Hospital Tan Tock Seng di republik itu pada 31 Januari, 2020. Pesakit yang disyaki dijangkiti penyakit koronavirus 2019 akan diletakkan di dalam bilik pengasingan di pusat ini. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Singapura sahkan tiga lagi termasuk seorang warganya dijangkiti koronavirus 2019

SINGAPURA, 1 FEB: Seorang wanita rakyat Singapura berusia 47 tahun yang dibawa pulang dari Wuhan, China, adalah salah seorang daripada tiga kes import baharu jangkitan koronavirus 2019 di republik ini.

Dalam kenyataan terkini Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, dua kes lagi melibatkan rakyat China.

MOH berkata setibanya wanita itu di Lapangan Terbang Changi, dia didapati mengalami demam semasa saringan kesihatan dan dibawa ke National Centre for Infectious Diseases (NCID).

“Dia disahkan positif jangkitan koronavirus 2019 pada 31 Januari dan pada masa ini dimasukkan ke dalam satu bilik pengasingan di NCID,” kata kementerian itu sambil menambah ketiga-tiga kes mempunyai sejarah pernah ke Wuhan.

Tiga kes baharu itu menjadikan kes koronavirus republik itu meningkat kepada 16.

Semalam, MOH mengumumkan semua pelawat baharu yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas, tidak akan dibenarkan masuk atau transit di Singapura berkuat kuasa hari ini.

MOH dalam satu kenyataan berkata langkah ini diputuskan oleh Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai koronavirus 2019 untuk mengehadkan potensi risiko daripada pelawat baharu tiba dari China kepada Singapura.

Kementerian itu berkata dalam penilaiannya adalah wajar mengambil langkah pencegahan tambahan pada peringkat ini memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan jangkitan daripada pelawat baharu yang tiba dari kawasan lain di China.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) Singapura juga menggantung pengeluaran semua bentuk visa baharu kepada pemegang pasport China berkuat kuasa serta-merta.

Status Singapura sebagai kemudahan transit tanpa visa untuk pemegang pasport China juga digantung.

MOH berkata visa jangka pendek dan pelbagai lawatan untuk pemegang pasport China yang dikeluarkan sebelum ini turut digantung.

“Sepanjang masa tempoh penggantungan ini, mereka tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura,” katanya.

Sementara itu, penduduk (rakyat Singapura/pemastautin tetap) yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas akan diberikan surat makluman untuk mereka diberikan cuti 14 hari dari hari mereka pulang dari China, berkuat kuasa serta-merta.

Ini juga terpakai kepada pemegang pas jangka panjang (termasuk pas kerja dan permit, pas pelajar, pas tanggungan dan pas lawatan jangka panjang) yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas, kata MOH.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak koronavirus 2019 sebagai kecemasan kesihatan sejagat.

“Pengisytiharan ini menetapkan platform untuk satu usaha sejagat terselaras bagi meningkatkan persediaan rantau lain di dunia,” kata MOH.

– BERNAMA


Pengarang :