AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ikuti sidang DNS di TVSelangor, SelangorKini

SHAH ALAM, 15 MAC: Rakyat negeri ini boleh mengikuti perkembangan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali Ke-14 Tahun 2020 secara langsung menerusi saluran YouTube TVSelangor dan portal berita SelangorKini bermula 16 hingga 27 Mac ini, kata Ng Suee Lim.

Speaker DNS berkata mereka yang peka dengan isu semasa, dasar dan polisi Kerajaan Negeri boleh mendapatkan informasi terkini di kedua-dua platform berkenaan sepanjang dua minggu persidangan.

“Memandangkan ramai yang dilanda trauma dengan penularan Covid-19 jadi cara terbaik terus mendapat informasi melalui SelangorKini dan TVSelangor.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan kehadiran semua pemerhati ke DNS,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan tempoh persidangan dipendekkan susulan kebimbangan dengan wabak Covid-19.

“Kita lihat nanti selain bergantung kepada keadaan serta sejauh mana keterlibatan ADN menyatakan usul mereka,” katanya.

Pembukaan sidang DNS akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan penuh istiadat di Bangunan DNS di sini jam 9 pagi esok.


Pengarang :