AGENSISELANGOR

JAS kesan pemilik buang 37 tong sisa kimia di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 23 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang menjejaki pemilik 37 tong sisa kimia atau Buangan Terjadual (BT) yang dilupuskan secara salah di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Dato’ Hussein, Jeram, Kuala Selangor pada Sabtu lepas.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menjumpai tong berkenaan hasil laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang melakukan kerja-kerja pemadaman sampah haram di situ pada hari berkenaan.

Beliau berkata tong-tong tersebut ditemui dalam enam longgokan itu bagaimanapun tidak terbakar dan usaha mengesan pemiliknya giat dijalankan supaya tindakan pelupusan serta pembersihan dapat dilakukan segera.

“Tong-tong berkenaan digunakan untuk menyimpan enap cemar pigmen (SW416) dan pelarut organik (SW322) selain ditemui juga bekas-bekas terpakai dicemari bahan kimia (SW409). Bagaimanapun, tong-tong tersebut hanya mengandungi sedikit sisa kimia manakala ada juga yang telah kosong,” katanya.

Selain tong berkenaan, Nor Aziah berkata JAS Selangor turut menjumpai longgokan sarung-sarung tangan getah dibuang bersama sampah domestik lain di situ.

Justeru, katanya, siasatan akan dijalankan terhadap kontraktor pengangkut BT serta Premis Yang Ditetapkan (PYDT) yang mempunyai rantaian dengan kes tersebut.

Beliau menegaskan pihak yang terlibat dalam insiden terbabit boleh dikenakan tindakan mahkamah kerana melakukan pencemaran atau disyaki melakukan pencemaran mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sampel buangan itu juga telah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis komposisinya. Kes pelupusan sampah domestik bercampur BT ini juga dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

“Kertas siasatan bagi mendakwa pihak terlibat sedang disediakan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan lain-lain seksyen berkaitan. Jika sabit kesalahan, pihak yang bertanggungjawab boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara mandatori sehingga lima tahun,” katanya.

Nor Aziah turut memberi amaran, walaupun negara sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini, namun penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran di seluruh negara tetap diteruskan bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan rakyat terpelihara.

– BERNAMA


Pengarang :