SHAH ALAM, 26 MAC: Dato’ Menteri Besar merakamkan penghargaan atas komitmen anggota barisan hadapan yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.
Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian di Twitter hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkaitan.
“Terima kasih untuk semua petugas barisan hadapan Covid-19. Petugas perubatan, pihak polis dan juga rider (petugas khidmat) penghantaran makan. Semoga anda dilindungi Allah SWT #SelangorGempurCovid19,” tulisnya.
Pada 20 Mac lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian bantuan RM200 kepada 6,000 petugas hospital di seluruh negeri ini dengan implikasi kewangan RM1.2 juta.
Inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 bagi menghargai petugas kesihatan yang bertungkus-lumus berkhidmat dan ada antara mereka bertugas tanpa cuti.