Permohonan boleh dibuat bermula pada 25 Mac 2020 dan akan ditutup pada 6 April 2020
AGENSISELANGOR

LZS rayu pemohon patuhi terma bantuan khas Covid

SHAH ALAM, 26 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) merayu kepada pemohon untuk mematuhi terma dan syarat yang dinyatakan ketika membuat permohonan Bantuan Khas Covid-19 (BKC19) secara dalam talian.

Ini kerana, LZS memaklumkan masih ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

“Kami merayu pemohon patuhi syarat yang dinyatakan di ruang permohonan tersebut supaya tidak berlaku ketidakadilan dalam pengagihan BKC19 ini.

“Kita perlu bersatu membantu satu sama lain tanpa mementingkan kehendak peribadi sendiri. Apabila ada dalam kalangan individu pentingkan diri ia menjadi punca peningkatan trafik yang tinggi dalam talian serta kelewatan proses saringan permohonan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu menyebut kaedah siasatan digunakan LZS juga disingkatkan bagi menilai ketulenan permohonan termasuk pergerakan amil.

Sebelum ini, LZS mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan permohonan itu mula dibuka kepada orang awam mulai semalam.


Pengarang :