SHAH ALAM, 21 MAC: Selangor menyelaraskan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata arahan berkuat kuasa serta-merta hari ini sehingga 31 Mac diputuskan pada mesyuarat koordinasi ‘Selangor Gempur Covid-19’, Jumaat lalu.
“Kerajaan Negeri sangat memandang serius kegagalan segelintir masyarakat yang masih mengabaikan arahan duduk di rumah selain daripada keperluan kritikal yang digariskan.
“Ini memungkinkan dampak penularan wabak Covid-19 berpotensi berpanjangan hanya kerana ketidakpatuhan masyarakat yang sebetulnya boleh ditangani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kawalan tambahan perkhidmatan yang perlu dipatuhi rakyat Selangor sepanjang tempoh ini adalah:
1. Bahan api dan pelincir
a) Stesen minyak: Dibenarkan (Kedai serbaneka dihadkan sehingga 12 tengah malam sahaja)
b) Pengeluaran, penapisan, penyimpanan, pembekal atau kebenaran: Dibenarkan
c) Pentadbiran am dan lain-lain: Dibenarkan beroperasi pada kadar minima atau bekerja dari rumah
2. Pembekalan dan perkhidmatan penyediaan makanan
a) Restoran dan warung: Pembekalan bahan mentah, pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja
b) Restoran dalam hotel: Makan di dalam tidak dibenarkan
c) Penjaja kecil, kendera saji dan medan selera: Tidak dibenarkan
3. Peruncitan
a) Pasar raya: Dibenarkan untuk bahagian peruncitan (groceries) dan makanan sahaja sehingga 12 tengah malam (Penghantaran dibenarkan dan bilangan pembeli setiap keluarga perlu dihadkan)
b) Kedai runcit dan serbaneka: Dibenarkan sehingga 12 tengah malam (Penghantaran dibenarkan dan bilangan pembeli setiap keluarga perlu dihadkan)
c) Pasar awam atau pasar borong: Dibenarkan dari jam 5 pagi hingga 4 petang (Penghantaran dibenarkan dan bilangan pembeli setiap keluarga perlu dihadkan)
d) Pasar malam atau pasar tani: Tidak dibenarkan
4. Pembaikan kenderaan
a) Perkhidmatan Pembaikan dan kedai alat ganti: Dibenarkan dari 9 pagi hingga 4 petang
b) Perkhidmatan tunda (towing): Dibenarkan
5. Cucian
a) Dobi, dobi layan diri: Tidak dibenarkan
b) Pusat cucian kereta atau motosikal: Tidak dibenarkan