Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad
AGENDANASIONAL

Mufti Kelantan jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM,19 MAC: Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mempunyai gejala Covid-19.

Beliau demam dan sakit tekak selepas pulang dari Sarawak, Khamis lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, lapor Malaysiakini.

Seorang ahli keluarganya ketika dihubungi berkata, Mohamad Shukri sakit sendi dan mendapat cuti sakit selepas menjalani pemeriksaan di klinik pada Ahad lalu.

“Keadaan demam tidak kebah dan beliau sekali lagi ke klinik sebelum diminta membuat saringan dan dimasukkan ke HRPZ II jam 9 pagi semalam.

“Beliau dimasukkan ke hospital untuk pemantauan memandangkan sekarang wabak Covid-19 dan pihak hospital memang ada jangkitan kuman, tetapi belum dipastikan jenis jangkitan sebenar,” katanya.

Ahli keluarga yang enggan disiarkan namanya itu berkata, Mohamad Shukri dalam keadaan stabil dan mesej yang tersebar mengatakan beliau dalam keadaan kritikal adalah tidak benar.

“Pagi tadi kami sempat buat panggilan video dan beliau memaklumkan keadaannya baik namun rasa mual,” katanya.


Pengarang :