Anggota penguat kuasa MPS menjalankan operasi di Pasar Borong Selayang pada 11 Mac 2020. Foto Facebook MPS
PBTSELANGOR

Operasi MPS: Warga asing lari tinggal barang niaga

SELAYANG, 14 MAC: Sekumpulan penjaja warga asing yang berniaga di bahu jalan dan kaki lima lari meninggalkan barang jualan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di Pasar Borong Selayang, kata Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mohamad Zin Masoad berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam kelmarin, MPS menyita 170 bakul berisi pelbagai barang jualan dan mengeluarkan 10 kompaun.

“Barang yang disita kebanyakan milik peniaga warga asing yang melarikan diri kerana tiada permit berniaga.

“Kompaun yang dikeluarkan melibatkan kesalahan meletakkan barang jualan di hadapan kedai sehingga menimbulkan kacau ganggu orang ramai berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua tindakan dilakukan mengikut Seksyen 46(1)d Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Penjaja.

Mohamad Zin berkata pemantauan melibatkan agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan diteruskan bagi membanteras monopoli warga asing di pasar berkenaan.

Operasi tiga jam dengan kekuatan 250 anggota itu turut disertai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.


Pengarang :