Sebuah restoran di Tasek Permai, Ampang tidak menyediakan tempat duduk sebaliknya pelanggan boleh membungkus makanan untuk dibawa pulang sebagai usaha mengurangkan penularan wabak Covid-19 pada 19 Mac 2020. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelanggan, peniaga patuh arahan bungkus makanan

AMPANG, 19 MAC: Kebanyakan pengusaha restoran dan gerai makan di sini mengikuti arahan kerajaan yang hanya membenarkan pelanggan membungkus makanan dan bukannya makan di premis.

Arahan itu termaktub dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Seorang pengusaha restoran, Noorul Khuta Mohamad Ariff berkata dia akur dengan arahan terbabit demi kepentingan masyarakat dan memastikan penularan wabak berjaya dikekang.

Noorul Khuta Mohamad Ariff

“Walaupun pendapatan merosot hampir 50 peratus kerana orang ramai lebih suka minum serta makan di kedai tetapi demi kesejahteraan semua kami akur.

“Kami tidak boleh tutup operasi kerana perlu menampung bayaran seperti sewa kedai, bil utiliti dan gaji pekerja,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sini hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Mengikut garis panduan disediakan, orang ramai hanya dibenarkan membungkus atau membuat permintaan penghantaran makanan ke kediaman masing-masing.


Pengarang :