SHAH ALAM, 8 MAC: Modul Pusat Wanita Berdaya (PWB) perlu ditambah baik dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan era, kata yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor.
Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program memperkasa wanita perlu dibuat agensi itu secara berterusan supaya golongan tersebut tidak terpinggir serta dapat melibatkan diri dalam semua bidang.
“Dahulu kita terpaksa masuk ke kampung untuk mencari golongan wanita atau ibu sebagai peserta program komuniti ini.
“Namun keadaan telah berubah yang mana kumpulan berkaitan berlumba-lumba menyertai PWB,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Sedekad PWB di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.
Masdiana turut melancarkan logo PWB sempena sepuluh tahun penubuhan pusat komuniti tersebut.
Beliau berkata wanita adalah tulang belakang negara dan slogan ‘wanita berdaya wanita berdikari’ telah membuahkan hasil selepas sedekad penubuhan PWB.