OLEH: Amin Ridzuan Ishak
SHAH ALAM, 14 MAC: Suka bersedekah menjadi amalan seorang pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat yang memudahkannya untuk menghafaz al-Quran.
Uwais Mohamad Aidil, 18, berkata seperti pelajar lain dia perlu berdisiplin dan sering mengulang bacaan untuk mengingati ayat untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran.
“Mungkin ia ada kaitan dengan amalan sedekah saya yang diajar dalam al-Quran yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda, bila bersedekah penerimanya mendoakan kebaikan serta kesejahteraan kita.
“Saya mudah menghafaz al-Quran dan pernah mendapat markah tertinggi sehingga 99.8 peratus dalam ujian pada 2018,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Qurra’ 2019 pada Majlis Graduasi Qurra’ MITS kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.
Anugerah itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Bagi seorang lagi penerima anugerah sama, Aini Amiera Muhd Aznor, 18, berkata dia dan rakannya selalu membawa al-Quran bagi memudahkan untuk dibaca.
“Kami membaca al-Quran sebelum belajar termasuk bagi subjek lain bagi memudahkan proses pembelajaran,” katanya dari MITS Klang di Alam Impian.