SHAH ALAM, 14 MAC: Sikap tenang penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila berhadapan provokasi ketika operasi tunda kereta pada 6 Februari lalu mendapat pujian Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada mereka kerana bertindak secara berhemah dalam kejadian berkenaan.
“Sebagai penjawat awam, kita tertakluk kepada undang-undang dan perlu sentiasa tenang, tertib serta berhemah bagi menghadapi situasi luar jangkaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibaca Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSA 2019 di Setia Alam Convention Centre, di sini, malam tadi.
Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan timbalannya, Mohd Rashidi Ruslan.
Pada majlis itu, seramai 127 kakitangan diiktiraf termasuk menerima anugerah khas perkhidmatan dan anugerah khas datuk bandar.
Pada 6 Februari lalu, tular di media sosial kejadian seorang wanita mengamuk setelah keretanya ditunda penguat kuasa MBSA akibat didapati melanggar undang-undang.