Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada kes Covid-19 di Hospital Jempol, Hospital Colombia Asia Seremban

SEREMBAN, 9 MAC: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) menafikan terdapat kes Covid-19 di Hospital Jempol dan Hospital Columbia Asia Seremban, seperti yang tular di media sosial.

Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata sehingga hari ini tiada sebarang rawatan atau kes Covid-19 di kedua-dua hospital ini dan meminta orang ramai untuk menghentikan penularan berita palsu ini.

“Setakat ini, Hospital Jempol tidak menerima mana-mana kes Covid-19 yang positif dari kawasan Mahsan, Jempol. Begitu juga dengan Hospital Columbia Asia Seremban, tiada kes positif Covid-19 dari Taman Sri Pulai, Sikamat.

“Mohon jangan sebarkan berita tidak benar dan dapatkan maklumat rasmi daripada Kementerian Kesihatan sebelum menyebarkan sebarang maklumat bagi mengelakkan kebimbangan awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, tular di media sosial mendakwa terdapat empat kes positif Covid-19 melibatkan lelaki yang tinggal di Mahsan, Jempol selepas pulang dari China dan turut tular terdapat pesakit positif Covid-19 di Hospital Columbia Asia Seremban.

Sementara itu, Dr Mohamad Faid berkata tujuh anggota kesihatan di Klinik Kesihatan Mantin, Nilai yang dikatakan dikuarantin selama 14 hari selepas merawat pesakit disyaki Covid-19 adalah prosedur biasa.

Katanya walaupun pesakit disahkan negatif Covid-19 namun setiap kakitangan yang merawatnya perlu dikuarantin mengikut prosedur ditetapkan.

Sementara itu, Hospital Columbia Asia dalam kenyataan hari ini menafikan laporan yang tular di WhatsApp dan Facebook terdapat kes Covid-19 di hospital tersebut.

“Columbia Asia ingin menjelaskan bahawa tiada kes Covid-19 dilaporkan di Hospital Columbia Asia – Seremban. Pihak pengurusan Columbia Asia menggesa orang ramai untuk memeriksa kesahihan sesuatu laporan itu sebelum menyebarkan di media sosial,” menurut kenyataan tersebut.

Kemas kini rasmi boleh dilayari di www.moh.gov.my. atau facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia.

“Sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab, Columbia Asia akan terus memantau premis hospital bagi mana-mana individu yang mempunyai gejala Covid-19.

“Kes-kes yang disyaki akan terus dirujuk ke hospital awam seperti yang ditetapkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA


Pengarang :