Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 21 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

69 kes baharu Covid-19, satu mangsa mati

SHAH ALAM, 1 MEI: Sebanyak 69 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 12 daripadanya melibatkan kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mencatatkan keseluruhan 6,071 kes namun 4,210 daripadanya (69.3 peratus) pulih dan dibenarkan keluar wad.

“Hari ini sebanyak 39 kes lagi  pulih manakala 1,758 kes aktif dan mereka diasingkan untuk diberi rawatan.

“Seramai 37 kes dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah tersebut, 14 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kematian hari ini menjadikan jumlah mangsa korban keseluruhan meningkat kepada 103 kes.

“Kes kematian ke-103 (kes ke-5,441) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-4,818.

“Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April dan disahkan meninggal dunia pada 30 April jam 4 petang,” katanya.

Semalam Malaysia merekodkan 57 kes baharu Covid-19, dengan 25 daripadanya kes import, seterusnya mencatatkan jumlah kes positif harian kurang daripada 100 sejak 17 April lalu.


Pengarang :