AGENDANASIONAL

MFL rancang sambung Liga-M 2020 pada September

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 mulai 1 September dengan semua pasukan bertanding dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.

Perancangan itu dibuat selepas kerajaan tidak meluluskan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan pada Ogos dan sesi latihan dijalankan pada Julai, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menurut kenyataan MFL, saingan Liga Super dan Perdana yang bermula September depan adalah berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga, manakala kempen Piala Malaysia bermula 17 September dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Bagi kempen Piala FA dan Piala Cabaran pula, saingan dibatalkan.

“Perubahan kalendar Liga-M 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020,” menurut kenyatan itu.

Menerusi format baharu itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang sudah ditetapkan.

Saingan Piala Malaysia pula menyaksikan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Perdana diundi bagi menentukan perlawanan awal serta pasukan tuan rumah.

MFL mengingatkan semua pasukan perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) latihan dan perlawanan Liga-M yang dikeluarkan FAM dan MFL berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta garis panduan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam pada itu, MFL mengesahkan Liga-M 2020 akan dibatalkan tanpa mana-mana pasukan dinobatkan sebagai juara sekiranya MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan saingan itu disambung sehingga September depan.

Sekiranya ia berlaku, juara Liga Super 2019 akan mendapat slot automatik ke Liga Juara-juara Asia (ACL) 2021 manakala naib juara Liga Super 2019 dan juara Piala FA 2019 akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan menegaskan bahawa pelan perancangan itu akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak Covid-19.

“Kami memantau situasi semasa isu wabak Covid-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga Malaysia 2020 berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat, dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS, andai Liga Malaysia musim 2020 dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu,” katanya.

Ab Ghani berkata perancangan baharu kalendar Liga-M turut mengambil kira faktor penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ACL 2020 melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tarikh baharu kejohanan Piala AFF 2020 yang dijangka pada 21 November hingga 15 Disember.

– BERNAMA


Pengarang :