Dengan pelbagai tradisi, adat apatah lagi wujud pelbagai suku kaum di sembilan daerah di negeri ini, ada pelbagai juadah tradisi yang dahulunya sering menjadi hidangan istimewa tiap kali kedatangan Ramadan tetapi kian dilupakan generasi baharu. Wartawan pelatih SHIQIN SHUKOR dan MUNIRAH AHAMAD mengupas perihal lima juadah berdasarkan maklumat umum.
Ayam Nasi Ingkung
Berasal dari Indonesia, hidangan ini wujud sejak kerajaan Jawa yang dipengaruhi agama Hindu. Ia kelihatan seperti nasi ayam tetapi menggunakan ayam kampung. Makanan ini sangat terkenal suatu masa dahulu dalam kalangan masyarakat Jawa di Selangor yang dimasak bersama daun salam dan kelapa.
‘Ingkung’ bermaksud penyerahan diri kepada Tuhan dan lambang kesucian seperti seorang bayi tanpa sebarang dosa. Ia disajikan pada acara keagamaan sebagai lambang kesyukuran termasuk sajian ketika Ramadan.
Kuih Bugis Mandi
Berbentuk bebola, seperti buah Melaka, ia juga dikenali sebagai Puteri Berendam, sejenis manisan berinti kelapa parut dan dihidang bersama kuah santan. Untuk menghasilkannya memerlukan tepung pulut, tepung sagu, santan cair, pewarna makanan dan garam.
Bahan untuk inti pula gula pasir, gula merah, tepung gandum, kelapa parut, air dan garam. Untuk membuat inti, masak gula dengan air hingga pekat, kemudian masukkan kelapa parut, tepung gandum dan garam. Kacau hingga campuran sedikit kering.
Untuk kuah santan pula, masak tepung beras, santan, garam serta daun pandan hingga mendidih.
Acar daging
Jarang kita dengar acar menggunakan daging sebagai bahan asas. Acar daging antara sajian pada Ramadan suatu ketika dahulu. Jika tidak gemar daging lembu, boleh ganti dengan ayam selain ditambah kismis.
Mengikut Buku Kompilasi Masakan Selangor tulisan Saadiah Mohamad, rasanya pedas dan sesuai dihidangkan bersama nasi panas sebagai juadah berbuka.
Kuih Lemper Pulut Ayam
Antara hidangan masyarakat Jawa yang mudah didapati ketika Ramadan tetapi kini dilupakan. Ia sebenarnya pencuci mulut berasas-kan pulut dan diisi inti ayam atau daging yang dibalut daun pandan dalam bentuk empat segi sebelum dikukus.
Daun pandan yang digunakan sebagai pembalut menaikkan aroma makanan. Ia berasal dari Yogyakarta, Jawa Tengah dan Jawa Timur. Ia juga mirip onigiri, makanan Jepun.
Horok-horok
Ia antara salah satu tradisi Selangor yang langka. Bahan asasnya mudah kerana diperbuat daripada tepung jagung yang dikukus selama 15 minit. Selepas siap dimasak, ia akan dipotong kecil supaya mudah dimakan bersama bakso atau hidangan lain. Horok-horok pernah menjadi makanan utama menggantikan nasi pada zaman dahulu kerana teksturnya yang kenyal.