Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Hentikan propaganda politik murahan, terus kerja untuk rakyat

SHAH ALAM, 15 MEI: Dato’ Menteri Besar menyifatkan dakwaan kononnya sebilangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor bakal menyertai Perikatan Nasional sebagai propaganda murahan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sokongan ADN jelas bagi memastikan Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal mentadbir untuk memakmurkan negeri ini.

“Mereka yang membuat cerita itu hanya bermimpi di siang hari. Saya yakin dengan sikap pada ADN kita yang tegas,” katanya ketika sidang media berkaitan pakej rangsangan ekonomi peringkat negeri di sini hari ini.

“Malah, baru-baru ini ketika kenyataan media dibuat bersama pimpinan PAKATAN, jelas bahawa mereka semua komited kepada dasar serta kerajaan (pimpinan) Pakatan Harapan di negeri Selangor.”

Amirudin ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut menolak andaian kononnya 10 daripada 19 ADN dari KEADILAN bakal menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya ia bertujuan menutup masalah dalaman PN selain cuba mencalar kredibiliti Kerajaan Negeri.

Khabar angin sedemikian timbul susulan dua wakil rakyat PKR di Kedah berpaling tadah baru-baru ini hingga mengakibatkan situasi politik di negeri berkenaan tidak menentu.

Dakwaan seumpama itu juga berlaku di Negeri Sembilan, sebuah lagi negeri yang ditadbir PAKATAN, membabitkan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tetapi ia dinafikan Ketua Menterinya Datuk Seri Aminuddin Harun.


Pengarang :