SHAH ALAM, 3 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam menyita sepuluh premis termasuk kendalian warga asing atas pelbagai kesalahan di sekitar Pulau Indah dan Batu Belah.
Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata antara kesalahan dikesan ialah berniaga tanpa lesen dan menghalang laluan kaki lima.
“Di Pulau Indah, tujuh premis sekitar kawasan Perindustrian Fasa 1 dan 2 diperiksa. Satu daripadanya tidak mempunyai lesen dan disita mengikut UUK 3 Undang- Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian (PTPP) (MPK) 2007.
“Enam lagi premis yang menjual barangan runcit pula didapati menghalang kaki lima dan disita mengikut Seksyen 46 (1) (d) Akta Jalan Parit & Bangunan (AJPB) 1974,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Dr Ahmad Fadzli berkata MPK turut menyita tiga premis menjual ayam hidup tanpa lesen di kawasan Batu Belah mengikut UUK3 (1) Undang-undang kecil Pelesenan Establysment Makanan (PEM) MPK 2007.
Operasi dibuat susulan aduan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkenaan pekerja warga asing memotong ayam hingga menyebabkan kekotoran dan mempersoalkan operasi premis.