SHAH ALAM, 20 JUN: Jemaah yang dapat menunaikan solat Jumaat perlu menunggu giliran berikutnya bergantung jumlah kariah masjid, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Mohd Shahzihan Ahmad berkata untuk menunaikan solat Jumaat kali kedua mungkin memakan masa berbulan-bulan bagi memberi peluang kepada pihak lain.
“Sebagai contoh ada seribu jemaah mendaftar untuk solat Jumaat di Masjid Negeri, tetapi masjid dihadkan seramai 250 jemaah sahaja. Jadi 250 jemaah yang telah terpilih tidak akan dipilih lagi pada minggu berikutnya.
“Mungkin kita dapat peluang sekali sahaja solat Jumaat sampai hujung tahun, jadi saya minta penyelaras masjid bersikap jujur dan tidak memberi kepada orang sama untuk menunaikan solat berjemaah,” katanya kepada SelangorKini.
Shahzihan berkata, mereka yang terpilih menunaikan solat Jumaat akan menerima kad kehadiran selewat-lewatnya pada Khamis.
“Diseru masyarakat Islam di Selangor untuk membuat permohonan solat Jumaat, adalah berdosa jika kita tidak memohon kerana pihak pemerintah telah beri keizinan,” katanya.
Khamis lalu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan bilangan jemaah di Masjid Negeri ditambah daripada 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).
Sultan Selangor menitahkan jumlah jemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang manakala masjid di seluruh negeri yang berada dalam mukim zon hijau, bilangan jemaah dihadkan 40 orang.