KUALA LANGAT, 7 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukan RM100,000 untuk membekalkan bantuan makanan kepada penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan makanan asas seperti beras, minyak dan sardin dijangka dapat bertahan untuk tempoh lebih seminggu.
“Penduduk juga menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan individu persendirian,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada penduduk di situ hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan semua penduduk sudah disaring, namun keputusan 1,300 individu masih belum diketahui dan dijangka diterima Selasa ini.
“Saya harap semua penduduk bersabar. Jika berdepan masalah boleh datang ke bilik gerakan dan kita turut membuka pusat kesihatan 24 jam bagi membantu mereka,” katanya.
Pagi tadi, Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim memaklumkan seramai 4,627 penduduk di kedua-dua taman sudah disaring susulan penguatkuasaan PKP Pentadbiran bermula 3 Mei lalu.
Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.