Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibantu untuk meminum air selepas melakukan saringan ke atas penghuni Malayan Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

53 peratus kes Covid-19 babitkan petugas kesihatan KKM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 adalah membabitkan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini bermakna lebih separuh petugas kesihatan positif Covid-19 akibat mendapat jangkitan daripada rakan setugas lain.

“Sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan kes dalam kalangan petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan dari sektor awam dan swasta.

“Keadaan ini membimbangkan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata jangkitan daripada komuniti pula ialah 22 peratus manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula 17 peratus.

Namun begitu, katanya setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM dijangkiti semasa pengurusan pesakit disahkan Covid-19 di wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Justeru, amat penting bagi petugas kesihatan untuk memastikan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 diambil pada setiap masa terutama semasa bertugas.

“Penjarakan fizikal yang selamat di tempat bertugas iaitu dalam kalangan rakan sekerja dan semasa pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu bekerja,” katanya.

 


Pengarang :