Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berucap ketika Program Kita ke Kampung 2.0 di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar pada 12 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor kekal status 371 kampung tradisi

SUNGAI BESAR, 13 SEPT: Selangor tetap mengekalkan status 371 kampung tradisi walaupun pembangunan pesat negeri dijalankan, kata EXCO kampung tradisi.

Rodziah Ismail berkata itu antara cabaran terbesar dalam menyeimbangi keperluan kemajuan disamping tidak melenyapkan keunikan dan warisan sedia ada.

“Walaupun kita pesat membangunkan negeri namun kampung-kampung tradisi tidak diusik sebaliknya kita bangunkan bersama namun suasana kampung dikekalkan.

“Sekarang kita ada 10 kampung warisan berusia lebih 100 tahun yang perlu ditonjolkan supaya menjadi satu manfaat untuk rakyat dan negeri,” katanya ketika berucap dalam Program Kita Ke Kampung di Kampung Parit 12, Sungai Haji Dorani semalam.

Program berkenaan dianjurkan bagi menarik orang ramai berkunjung ke kampung yang mempunyai keunikan tersendiri disamping menjana ekonomi penduduk setempat.

Menurut Rodziah, langkah terdahulu Kerajaan Selangor menyediakan sistem profil kampung pada 2018 membantu pihaknya mengetengahkan keunikan sesebuah penempatan.

“Kita sudah ada data setiap kampung. Jadi apa yang perlu sekarang adalah memajukan kawasan berpotensi bagi menarik orang luar.

“Penduduk kampung mungkin anggap tempat mereka tidak ada keistimewaan namun berbeza dengan pandangan orang bandar. Jadi kelebihan kampung perlu diuar-uarkan supaya dapat menjadi satu sumber rezeki,” katanya.


Pengarang :