Selangor membenarkan restoran dan kedai serbaneka di negeri ini beroperasi hingga jam 2 pagi.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor benar restoran, kedai serbaneka operasi hingga 2 pagi

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Selangor membenarkan restoran dan kedai serbaneka di negeri ini beroperasi hingga jam 2 pagi.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata keputusan itu selaras dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis lepas.

“Kes Covid-19 di negeri ini dalam keadaan terkawal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kini tiba masa memulihkan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Sze Han menegaskan pencegahan penularan wabak Covid-19 masih menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

“Sehubungan itu, pengunjung dan pengusaha diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai MKN dan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 September mengumumkan waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan ke jam 2 pagi.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Sebelum ini, waktu operasi yang ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja.


Pengarang :