AGENDANASIONAL

Bekalan air di Hulu Selangor pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 21 OKT: Gangguan bekalan air tidak berjadual di Hulu Selangor pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan perkembangan itu menjadikan 1,162 (90%) kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya dari 1,292 kawasan yang terlibat.

“Sebanyak 130 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

“Petaling (98%), Klang/Shah Alam (70%), Gombak (78%), Kuala Lumpur (97%), Hulu Selangor (100%), Kuala Langat (50%), Kuala Selangor (99.6%),” kata Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Elina berkata Air Selangor menyarankan pengguna supaya membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

Tambah beliau, air bersih berkenaan telah melalui ujian kualiti dan mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia dan pematuhan tersebut disahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

“Air Selangor berharap para pengguna menggunakan bekalan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor, pada Ahad lalu.

Susulan itu 1.2 juta akaun pengguna meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

 


Pengarang :