Kemeriahan suasana penerima dalam Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelajar Unisel, Kuis dapat pelepasan yuran asas

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri memperkenal program pelepasan yuran asas kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Dato’ Menteri Besar berkata Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) yang bakal dilaksana tahun depan bagi menarik minat mahasiswa melanjutkan pengajian.

“Usaha ini mengambil kira kesukaran dan kedudukan kewangan ibu bapa pelajar kesan pandemik Covid-19 serta menarik minat mahasiswa untuk melanjutkan pelajaran di universiti Kerajaan Negeri.

“Berikutan itu, Kerajaan Selangor mengumum program Bayu iaitu pelepasan bagi yuran asas kepada pelajar Unisel dan Kuis pada 2021 dengan peruntukan RM4 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Beliau turut mengumum dana RM8 juta bagi pembiayaan pendidikan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor, manakala RM1 juta untuk Program Khas Selangor Bitara.

Sementara itu, Amirudin berkata Unisel dan Kuis menerima dana RM35 juta secara pinjaman bagi memastikan fungsi kedua-duanya berjalan lancar.

“Ia juga membolehkan institusi pengajian tinggi ini merancang semula urusan komersial bagi meningkatkan hasil dan potensi kewangan,” katanya lagi.


Pengarang :