EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim bercakap ketika program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor uji teknologi nano rawat air sungai peringkat awal

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri sedang menguji teknologi nano sebagai salah satu kaedah untuk merawat air sungai yang tercemar pada peringkat awal, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata teknologi dari Amerika Syarikat itu melibatkan penggunaan fitoplankton, sejenis sel dalam air yang dipanggil diatom dan diletakkan di kawasan hulu sungai negeri ini.

Menurutnya, ujian rintis tersebut menggabungkan teknologi tempatan dengan kerjasama sebuah syarikat termasuk pakar air dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pakar Biokimia Universiti Malaya (UM).

“Kombinasi ini menggunakan kaedah rawatan biologi diatom untuk membersihkan air tanpa bahan kimia kerana pakar tersebut mampu mengasingkan bakteria baik untuk air dan tumbuhan.

“Diatom semulajadi berada di dalam air tetapi apabila berlaku terlalu banyak pencemaran, ia akan mati. Bakteria ini diberi makan supaya dapat melakukan proses fotosintesis untuk mengeluarkan oksigen dan dengan sendirinya melawan (pencemaran),” katanya.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim (dua dari kanan) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Haslina Amer (kanan) bercakap ketika program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. FOTO REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Program selama sejam turut menampilkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Haslina Amer.

Ir Izham menambah sepanjang seminggu kajian dijalankan menerusi pensampelan air tercemar, pihaknya mengesan perubahan warna dan bau serta penurunan kadar pencemaran.

“Cuma ketika ini kita sedang menunggu laporan makmal untuk mengaplikasikannya. Jika berjaya, rawatan awal air boleh dibuat di peringkat hulu sungai sekali gus mengurangkan risiko air tercemar sampai ke muka sauk.

“Malah, teknologi nano ini akan berterusan sehingga dua tahun dan akan diperluas ke tempat lain bagi memastikan air sungai bersih serta terpelihara,” katanya lagi.


Pengarang :