BERITA UTAMARENCANA

DYMM Sultan Selangor abadi jersi hadiah Super Mokh di galeri

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Sebagai negeri yang terkenal gah dalam arena bola sepak tempatan, sukan itu diambil berat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kejohanan Piala Sultan Selangor antara usaha yang dilakukan baginda mulai 2001 bagi menyemarakkan sukan tersebut. Piala yang memasuki edisi ke-19 tahun ini diwujudkan ketika baginda bergelar Raja Muda.

Kejohanan hanya membabitkan pasukan Selangor dan Singapura, dua pasukan handalan selepas Singapura tidak lagi menyertai Piala Malaysia sejak 1995.

Perlawanan itu dianggap penerus antara dua musuh tradisi di padang pada setiap tahun. Ia sekali gus mengukuhkan hubungan antara Selangor dan Singapura khususnya dalam aspek sukan.

Bagaimanapun, Piala Sultan Selangor edisi ke-19 yang dijadual berlangsung 15 Ogos terpaksa dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga kerap mencemar duli menyaksikan perlawanan membabitkan Red Giants termasuk tampil dengan gaya santai dan ada kalanya mengenakan jersi pasukan negeri.

Baginda turut mengambil inisiatif turun bertemu pemain bagi menitipkan kata-kata perangsang, umpamanya sebelum perlawanan dengan Sabah pada peringkat akhir Piala Malaysia 2002.

Apatah lagi, Red Giants ketika era 1970-an memiliki ramai pemain berbakat dan dianggap pemain terbaik negara ketika itu termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau diberi jolokan Super Mokh.

Mokhtar menyertai Selangor pada 1971 dan mewakili negeri ini dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.

Pada 1986, Sultan Sharafuddin menerima hadiah jersi keramat nombor 10 milik Super Mokh. Jersi itu diberikan Mokhtar selepas memimpin Selangor menjuarai Piala Malaysia.

Hadiah itu amat dihargai baginda dan disimpan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Selain jersi, baginda Sultan Selangor juga turut menyimpan pelbagai koleksi berkaitan bola sepak yang dikumpul sejak menjadi Raja Muda termasuk keratan akhbar berkaitan kejayaan pasukan Selangor.

Cetusan idea muzium itu juga jelas menggambarkan bola sepak sebagai satu perkara yang amat akrab di hati baginda.

Baginda merasakan bola sepak mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum yang menghuni negerinya.

Terbaru, Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus yang dibeli baginda pada 14 September lalu turut ditempatkan di muzium berkenaan.

Kasut Emas penyerang kebangsaan itu yang diterima pada 2002 melalui Anugerah Kasut Emas dibeli dengan satu nilai harga yang tidak didedahkan.

Langkah Sultan Sharafuddin mendapat pujian ekoran Khalid mengambil keputusan menjual koleksi kesayangannya berikutan masalah kewangan sejak tiga tahun lalu.

 

 


Pengarang :