Orang ramai beratur menunggu giliran menjalani saringan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: 22 mukim di Selangor dalam zon merah

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak 22 mukim dari seluruh daerah di Selangor dikategorikan zon merah Covid-19 dalam tempoh dua minggu bermula 26 Disember sehingga semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Hulu Langat merekodkan zon berbahaya paling banyak dengan lima mukim meliputi Ampang, Cheras, Hulu Langat, Kajang dan Semenyih.

Empat mukim di Gombak membabitkan Batu, Hulu Kelang, Rawang dan Setapak manakala di Petaling pula meliputi Bukit Raja, Damansara, Petaling dan Sungai Buloh.

“Sebanyak tiga mukim zon merah di Kuala Selangor iaitu Ijok, Jeram dan Tanjung Karang,” menurut data agensi itu menerusi Facebook.

Sementara itu, dua kawasan berstatus merah di Klang dan Kuala Langat merangkumi Kapar, Klang, Tanjung 12 (1) serta Teluk Panglima Garang.

Sepang dan Hulu Selangor masing-masing merekodkan satu mukim zon merah iaitu di Dengkil serta Serendah.

Semalam, kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada empat digit dengan 1,086 kes menjadikan keseluruhan 38,433.


Pengarang :