AGENSISELANGOR

MSN Selangor: 30 sertai pertandingan cipta logo PeBS

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 30 individu menyertai pertandingan reka bentuk logo Penggerak Belia Tempatan Selangor (PeBS), kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pemenang tunggal pertandingan yang menawarkan hadiah wang RM2,000 bakal diumum dalam tempoh dua minggu.

“Pemilihan logo diputuskan jawatankuasa tetap generasi muda yang dipengerusikan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Logo mesti mengandungi nama PeBS, elemen orang muda dan lokasi ikon di Selangor selain mempunyai dua warna iaitu 70 peratus biru royal dan 30 peratus merah kuning,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata pertandingan mencipta logo anjuran Kerajaan Negeri dan MSN Selangor itu antara langkah penjenamaan semula PeBS yang sebelum ini dikenali Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

Penyertaan pertandingan yang bermula 25 Januari hingga Jumaat lepas turut menerima sijil penyertaan.

Kerajaan Negeri menubuhkan PeBT pada 2009 bertujuan melahirkan pemimpin muda, menggerakkan belia setempat dan agenda pembangunan serta merapatkan hubungan belia dan masyarakat.


Pengarang :