Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu, Datin Norhana Ng Abdullah (dua, kiri) bersama anak-anak dan menantu meraikan tradisi makan besar sempena Tahun Baru Cina bersama adik beradiknya yang berada di luar Terengganu menerusi panggilan video ketika ditemui di Kampung Pengkalan Maras semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perbezaan agama tidak pisahkan ikatan keluarga

KANGAR, 13 FEB: Hubungan erat sesama ahli keluarga harus terus dikekalkan walaupun berbeza agama dan kepercayaan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, elemen kekeluargaan merupakan ikatan yang paling kuat dalam memperteguhkan perpaduan nasional.

“Semua rakyat perlu mengamalkan hidup harmoni dengan sentiasa mempraktikkan mencari persamaan dan menjauhi perbezaan.

“Seperti ungkapan Bahasa Inggeris ‘Agree To Disagree’, dengan menghormati perbezaan sesama kita namun pada masa yang sama menyampaikan kebenaran, bertoleransi tanpa menggadaikan prinsip agama, serta memahami sensitiviti agama dan kaum yang lain,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), semalam.

Kenyataan tersebut menyebut Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam berkenan menyantuni saudara baru muallaf Harun Abdullah, 34, di Rumah Makan Warisan Khatreena Arau.

Harun memeluk Islam pada Julai lalu, merupakan seorang berbangsa Tionghua dan mula tertarik dengan Islam sejak di bangku sekolah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan ‘angpau’ selain turut memberikan galakkan kepada Harun untuk turut serta menyertai Program Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs, di bawah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

– BERNAMA


Pengarang :