Penonton menyaksikan Program Sambutan Tahun Baharu Cina 2021 peringkat Selangor menerusi Facebook Live di Facebook Media Selangor bersiaran selama sejam yang menampilkan persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan pada 12 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

123,000 penonton rai sambutan Tahun Baharu Cina dalam talian

SHAH ALAM, 13 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina 2021 peringkat Selangor yang berlangsung secara maya malam tadi menerima sambutan luar jangka apabila disertai kira-kira 123,000 penonton.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor berkata program istimewa bertemakan ‘Tahun Baru, Harapan Baru’ ditonton orang ramai melalui laman Facebook Dato’ Menteri Besar dan media dalam talian.

“Suatu keputusan yang amat menakjubkan. Saya bangga dengan persembahan kebudayaan bermutu tinggi dan bilangan penonton siaran langsung,” kata Dato’ Teng Chang Khim ringkas kepada SelangorKini.

Buat julung kali, sambutan perayaan masyarakat Tionghoa diadakan menerusi platform media sosial susulan situasi semasa pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan penganjuran acara besar dan perhimpunan orang ramai.

Bagaimanapun, Selangor mengambil pendekatan menerbitkan program secara dalam talian, selari dengan norma baharu untuk masyarakat Cina menikmati suasana perayaan di kediaman masing-masing.

Program selama 68 minit menyajikan 12 persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan yang menelan kos penganjuran RM414,000.

Penonton bertuah juga berpeluang memperoleh angpau antara RM28 (150 angpau) dan RM168 (lima angpau).

Cabutan angpau RM168 diadakan pada minit ke-15, 30, 45, 60 serta selepas siaran langsung tamat manakala senarai pemenang akan diumumkan pada 15 Februari.

 


Pengarang :