KUALA LANGAT, 21 MAC: Dato’ Menteri Besar mengadakan Program Jelajah Parlimen Kuala Langat pagi tadi.
Program dimulakan dengan edaran lebih 200 kit cecair pembasmi kuman di Pasar Awam Banting.
Dato’ Seri Amirudin Shari kemudian menikmati sarapan pagi bersama pemimpin setempat di rumah ketua kampung Seri Jugra.
Lawatan beliau diteruskan ke Masjid Diraja Sultan Ala’eddin Kampung Bandar serta menyampaikan bantuan sejumlah RM10,000.
Amirudin turut meluangkan masa bertemu nelayan serta meninjau keadaan Jeti Kelanang yang memerlukan pembaikan.
Seramai 50 nelayan turut menerima bakul makanan mengandungi beras dan makanan asas lain.
Jelajah diteruskan ke Kuil Sri Thurobathi Amman di Ladang Dusun Durian Kuil. Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit mendengar isu projek perumahan terbengkalai bekas pekerja ladang.
Beliau kemudian menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama Pimpinan KEADILAN Cabang Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Telok Datok.
Dato’ Menteri Besar dijadual menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Shariff, Taman Seri Telok Datok sebelum meneruskan jelajah di sekitar Pulau Carey dan Telok Panglima Garang.