Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk bagi mengikuti Saringan Komuniti secara bersasar di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma diteruskan hujung minggu, MB saran ambil peluang

SHAH ALAM, 12 MAC: Penduduk sekitar Subang Jaya, Shah Alam dan Bandar Bukit Puchong digalak menyertai program saringan percuma pada esok dan Ahad.

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi tumpuan meliputi Dewan Serbaguna MPSJ di Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada Sabtu.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program sama turut berlangsung serentak di Dewan Seroja MBSA Seksyen 27, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7 pada Ahad.

“Penduduk yang menetap di kawasan berhampiran dijemput dan digalakkan untuk menjalani ujian Covid-19 percuma dari jam 9 pagi hingga 4 petang,” tulisnya di Facebook.

Melalui Twitter pada 20 Februari, Amirudin berkata program berkenaan akan diteruskan di kawasan berisiko yang jumlah kes positif berpotensi melonjak antaranya rumah penjagaan warga emas.

Beliau menjelaskan lokasi saringan ditentukan berdasarkan data dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pusat kesihatan daerah.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :