SHAH ALAM, 16 MEI: Bilangan kes sembuh Covid-19 di Selangor hari ini dengan 1,572 mengatasi jangkitan baharu sebanyak 1,275.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan ia menjadikan negeri ini mencatat jumlah keseluruhan pulih 148,219 kes.
Sementara itu, ketua pengarah kesihatan berkata Selangor masih merekodkan angka harian tertinggi dengan kesemua kes membabitkan jangkitan tempatan.
“Sebanyak 865 kes berpunca saringan kontak rapat, 179 daripada kluster sedia ada manakala 231 lagi lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.
Beliau berkata lapan kematian baharu dilaporkan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 47 hingga 78 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.
Keseluruhannya, Selangor merekodkan 153,663 kes positif dengan 493 individu maut sejak pandemik melanda.